BLOG abangms AKAN AKTIF SEMULA

Hai apakhabar semua,

Ceria dan cerlang agaknya.
Mulai saat ini blog abangms akan beroperasi semula dengan info-info tentang bank yang terkini.
Lama menyepi kerana blog ini ada sedikit masalah teknikal dan kini ianya telah dapat dipulihkan...Banyak post-post yang hilang...
Ok jumpa lagi dan datanglah ke sini selalu.

bye

JENIS-JENIS KEMUDAHAN PINJAMAN

Hai,

Berjumpa lagi .

Kali ini abangms akan bercerita sedikit tentang jenis-jenis pinjaman.


Secara amnya kemudahan pinjaman dapat dikategorikan seperti berikut:-

1) Pinjaman Berjangka
2) Kemudahan Modal Pusingan(Overdraft)
3) Lain-lain Kemudahan

1) Pinjaman Berjangka

Pinjaman yang mempunyai tempoh bayaran balik tertentu seperti 60 bulan, 96 bulan dan
sebagainya.
Contoh pinjaman projek tanaman kelapa sawit, pinjaman membeli hartanah, pinjaman
peribadi.


2) Kemudahan Modal Pusingan

Biasanya berbentuk kemudahan seperti overdraf, modal pusingan perniagaan di mana tempoh kemudahan adalah singkat seperti 12 bulan dan faedah akan dikenakan ke atas jumlah wang yang digunakan dari kemudahan tersebut dalam tempoh tertentu. Contohnya kemudahan overdraf berjumlah RM 10,000 selama 12 bulan. Peminjam menggunakan wang RM 5,000 sahaja selama sebulan maka faedah yang dikenakan hanya ke atas RM 5,000 sahaja. Sekiranya wang tidak digunakan tiada faedah akan dikenakan kepada peminjam. Kemudahan ini biasanya boleh diperbaharui selepas tamat tempoh bergantung kepada persetujuan pihak bank.

3) Lain-lain kemudahan

Kemudahan lain berbentuk pinjaman ialah seperti kad kredit, sewabeli kenderaan, pemaktoran, kemudahan jaminan dan pajak gadai islam (Ar-Rahnu). Kemudahan ini mempunyai syarat-syarat dan terma-terma tertentu mengikut polisi masing-masing bagi setiap bank dan institusi kewangan.







jumpa lagi
abangms

KENAPA PERLU MEMINJAM WANG

Selamat bertemu lagi,
Sebelum bercuti panjang di tahun baru cina ni abangms nak cerita sikit tentang kenapa orang berhutang?

Pada masakini hampir kesemua individu yang telah dewasa meminjam wang. Dalam bahasa mudah setiap orang pasti berhutang. Banyak atau sedikit jumlah hutang yang ditanggung adalah berbeza antara seseorang individu dengan individu lain. Ada yang hidup bahagia melalui hutang dan tidak kurang juga yang hidup merana bahana hutang.

Bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri jangan ukur di badan benggali. Berhutanglah mengikut kemampuan dan keperluan penting agar anda tidak terperangkap dengan hutang.
Kenapa manusia berhutang atau meminjam wang?

Secara amnya terdapat beberapa sebab yang membuatkan seseorang terpaksa berbuat demikian:-

1.1 Memenuhi Keperluan Asas

Tiga perkara telah menjadi keperluan asas setiap manusia iaitu makanan, pakaian dan tempat perlindungan. Bagi memenuhi keperluan asas tersebut wujudlah pinjaman wang atau hutang.
Manusia biasanya membeli makanan dan pakaian secara tunai. Walau bagaimanapun ada yang berbelanja untuk membeli keperluan tersebut secara berhutang (meminjam wang) iaitu membayar menggunakan kad kredit.
Sebahagian besar manusia terpaksa meminjam wang untuk membeli tempat perlindungan iaitu rumah sebagai tempat berteduh dari hujan dan panas. Jarang-jarang kita dengar seseorang itu membeli rumah secara tunai.


1.2 Memenuhi Kehendak /Keperluan Tambahan

Selain dari keperluan asas, manusia secara fitrahnya mempunyai pelbagai kehendak. Manusia berkehendak untuk memiliki pelbagai kelengkapan rumah, kenderaan untuk bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain, mendapatkan pendidikan yang sempurna untuk ahli keluarga, berhibur dan bersiar-siar serta lain-lain kehendak. Pendek kata selagi manusia hidup banyak perkara yang ingin dimiliki dan dirasai. Bagi memenuhi kehendak tersebut sebahagian besar manusia terpaksa berhutang kerana secara puratanya manusia mempunyai sumber pendapatan yang terhad sedangkan kehendak mereka tidak terhad.


1.3 Menjana Kekayaan

Menjadi kaya adalah impian setiap manusia. Sememangnya naluri manusia tidak pernah berasa puas dengan apa yang mereka miliki. Mereka yang berpendapatan RM 500 sebulan selalu berangan-angan untuk memperolehi pendapatan RM 1,000 sebulan. Setelah memperolehi pendapatan RM 1,000 sebulan mereka mengimpikan pendapatan RM 2,000 sebulan dan seterusnya mereka ingin pendapatan yang lebih tinggi dari apa yang mereka perolehi sekarang.
Manusia sering berusaha menambah pendapatan atau menambah kekayaan mereka melalui pelbagai usaha seperti berniaga dan melabur di bidang-bidang yang diyakini akan memberi keuntungan seterusnya kekayaan kepada mereka. Menjalankan perniagaan memerlukan modal. Begitu juga dengan pelaburan. Oleh itu manusia tidak dapat mengelak dari meminjam wang untuk tujuan tersebut. Apabila keadaan ini berlaku maka wujudlah hutang atau pinjaman wang.


Selamat bercuti dan jumpa lagi

abangms

MARI MENGENALI JENIS-JENIS BANK


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Ni Hau Ma,



Berjumpa lagi anda semua dengan abangms di blog ini.


Hari ni 15.01.2009. Dah setengah bulan di tahun baru. Azam anda macamana? dah mula ke nak capai azam baru tu! Cepat. Masa tidak menanti kita. kalau kita tak memotongnya dia akan memotong kita (ye ke!)



abangms akan cuba berkongsi info dan pengalaman pasal bank di mana abangms dah berbelas tahun kerja di bank dan sekarang ni sebagai Branch Manager di sebuah bank tempatan. Pening jadi manager ni. Nampak sedap tapi berat ........Hari-hari target, promotion, KPI and so on....stress 24 jam...


Untuk kurangkan stress abangms mula berjinak-jinak dengan dunia blogging ni...

Sebelum kita bicara soal pinjaman bank, soal produk, soal perkhidmatan, bantuan mereka kepada usahawan, kadar faedah dan macam-macam hal lagi berkaitan bank, abangms nak kongsi dengan anda tentang jenis-jenis bank yang ada di pasaran.

Kata orang,

TAK KENAL MAKA TAK CINTA (kata orang tua)
TAK CINTA MAKA TAK DERITA (kata orang muda)

Oklah tu.


Semua bank sama sahaja iaitu tempat menyimpan dan meminjam wang. Anda boleh pergi ke mana-mana sahaja bank yang anda suka tanpa perlu berfikir panjang. Anggapan tersebut agak kurang tepat. Jika tersilap memilih bank pastinya keperluan pinjaman anda sukar dipenuhi kerana setiap bank mempunyai fungsi dan peranan yang berbeza-beza. Oleh itu marilah kita mengenali jenis-jenis bank yang terdapat di sekeliling anda agar anda tidak tersilap mengetuk pintu bank.

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis bank dan setiap bank mempunyai nama yang tersendiri. Bank-bank tersebut diklasifikasikan seperti berikut:-

a) BANK PUSAT


Ia merupakan badan kewangan tunggal yang dimiliki oleh kerajaan dan tidak berorientasikan keuntungan . Ia mempunyai beberapa peranan seperti mengeluarkan mata wang, sebagai jurubank kerajaan, sebagai jurubank kepada bank-bank perdagangan, mengekalkan kestabilan nilai mata wang , mengamalkan dasar kewangan negara dan mengawal aktiviti institusi kewangan.
Contoh bank jenis ini ialah Bank Negara Malaysia.

b) BANK PERDAGANGAN


Bank Perdagangan berperanan menerima simpanan dari orang ramai, memberi pinjaman serta menyediakan lain-lain perkhidmatan.

Simpanan yang diterima berbentuk Deposit Masa (akaun semasa yang menggunakan cek), Deposit Tabungan (akaun simpanan tidak menggunakan cek) dan Deposit Tetap ( akaun simpanan tetap dalam tempoh tertentu). Setiap simpanan akan diberikan faedah mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Kemudahan pinjaman yang diberikan oleh bank perdagangan biasanya berbentuk pinjaman berjangka, pendiskaunan bil-bil pertukaran dan perkhidmatan overdraf.

Lain-lain kemudahan berkaitan kewangan turut ditawarkan oleh bank perdagangan seperti arahan bayaran, draf bank, cek kembara, pindahan kredit, kad kredit, pembelian dan penjualan mata wang asing dan peti simpanan keselamatan.
Contoh Bank Perdagangan ialah Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Public Bank.

c) BANK SAUDAGAR

Bank Saudagar kerapkali disebut dengan nama ‘merchant bank’. Ia merupakan badan kewangan yang berperanan menawarkan perkhidmatan khusus dan pelengkap kepada perkhidmatan yang disediakan oleh institusi kewangan lain. Biasanya ia berbentuk perkhidmatan kepada syarikat perniagaan yang besar sahaja dan tidak kepada syarikat kecil dan orang awam.
Di antara fungsi bank saudagar ialah memberi khidmat nasihat berhubung dengan percantuman, pengambilalihan, penyusunan dan usaha sama di kalangan syarikat, memberi khidmat nasihat berhubung aspek pelaburan dan pengurusan portfolio, menanggung jamin terbitan syer, menerima deposit dan menerima simpanan, menguruskan pinjaman bersindiket.
Nama bank saudagar dapatlah anda lihat di prospektus sesebuah syarikat yang akan disenaraikan di Bursa Saham iaitu di bahagian penaja jaminan.Prospektus tersebut biasanya disisipkan di akhbar-akhbar utama sempena penerbitan syer awam sesebuah syarikat.
Contoh bank saudagar di Malaysia ialah Arab Malaysian Merchant Bank Berhad.


d) BANK ISLAM


Ia merupakan bank perdagangan yang beroperasi berlandaskan konsep dan prinsip perbankan islam sepenuhnya meliputi urusan menerima simpanan dan menawarkan pinjaman. Beberapa istilah yang dipinjam dari perkataan arab telah sinonim dengan bank jenis ini seperti prinsip Al-Wadiah, Al-Mudharabah, Al-Musyarakah, Al-Murabahah, Al-BaiBithaman Ajil, Al-Ijarah dan Al- Qardulhasan. Contoh bank islam di Malaysia ketika ini ialah Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Muammalat Malaysia Berhad.



e) BANK KERAJAAN


Bank jenis ini merupakan agensi kerajaan dan lebih kepada tujuan pembangunan. Ia menyediakan kemudahan pinjaman dan sesetengahnya menerima simpanan dan lain-lain perkhidmatan.

Contoh bank jenis ini ialah Bank Pertanian Malaysia (baru dikorporatkan menjadi AGROBANK) dan Bank SME (dahulunya dikenali sebagai Bank Pembangunan dan Infrastruktur serta Bank Industri). Bank Pertanian Malaysia berperanan memberikan pembiayaan bagi tujuan pembangunan sektor pertanian Negara. Bank SME pula berperanan memajukan sector Industri Kecil dan Sederhana Negara.

f) BANK KOPERASI


Sesetengah koperasi menjalankan aktiviti perbankkan. Di antara aktiviti yang dijalankan ialah menerima deposit dan menawarkan kemudahan pinjaman. Contoh koperasi tersebut ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.


abangms harap info pertama ini dapat memberi kefahaman kepada para pengunjung semua tentang bank secara am. Ingat, jangan salah ketuk pintu !




sendlah blog ni kepada rakan-rakan moga-moga sama-sama dapat ilmu yang tak seberapa ni.



TIP Kurangkan Stress:

Senyum Sokmo kerana senyum itu penawar duka.


Jumpa lagi






SELAMAT TAHUN BARU 2009

Selamat tahun baru 2009 dan bagi muslim selamat maal hijrah 1430.
Apa azam anda pada tahun ini. Macam-macam ye. Ada azam baru dan ada juga meneruskan azam tahun lepas yang belum kesampaian.

Nak tahu apa azam abangms tahun ni? Rahsia tu. Cuba-cuba email abangs di abangms@yahoo.com

Blog ini baru dibina hari ini dan akan diupdate sekerap mungkin. Sebab abangms ingin merancakkan lagi dunia blogging. blogger dan blog yang semakin mendapat tempat di hati anda semua.
Blog ini adalah wadah membincangkan tentang duit, wang, ringgit dan pinjam-meminjam. Susah ke mohon pinjaman? Senang je sebenarnya.

Jadi selalulah melawat ke sini.


Selamat berjumpa lagi.
abangms